Rabu, 14 Disember 2011

MODEL PEMBELAJARAN DUNN AND DUNN

Model gaya pembelajaran Dunn dan Dunn (1978) menyatakan bahawa gaya pembelajaran merupakan kaedah seseorang menumpu, memproses, menyerap dan mengingat maklumat atau kemahiran yang baru dan sukar. Model Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn adalah berdasarkan prinsip-prinsip dimana kebanyakan individu mampu dan boleh belajar, setiap individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu,gaya pembelajaran individu akan bertindak balas dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan akhir sekali iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dapat isesuaikan dengan gaya pembelajaran seseorang itu akan dapat mengoptimumkan proses pembelajaran.


CIRI-CIRI MODEL PEMBELAJARAN DUNN & DUNN

a)Rangsangan Persekitaran

Rangsangan persekitaran merujuk kepada elemen-elemen cahaya, bunyi, suhu dan rekabentuk. Kajian Dunn dan Dunn (1978) mendapati terdapat individu memerlukan persekitaran cahaya terang semasa belajar. Individu juga memerlukan bunyi seperti muzik di persekitaran mereka semasa belajar. Oleh itu, mereka akan memasang radio atau televisyen sewaktu belajar (terutamanya ketika larut malam) kerana bunyi dari radio atau televisyen akan dapat mengatasi suasana yang sunyi itu dan dapat memberi lebih kosentrasi terhadap pelajaran mereka. Beliau juga mendapati individu mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap suhu persekitaran . Proses pembelajaran adalah lebih berkesan sekiranya dilaksanakan dalam suasana nyaman dan berhawa dingin. Suhu yang panas akan menyebabkan fikiran dan emosi seseorang terganggu dan cepat berasa mengantuk dan akan menyebabkan produktiviti seseorang. Pelajar yang gemar belajar dalam keadaan formal memerlukan satu tempat yang khas untuk aktiviti pembelajaran mereka seperti sebuah meja dan kerusi.

b)Rangsangan Emosional

Rangsangan emosional terdiri daripada elemen-elemen seperti motivasi, kecekalan, tanggungjawab dan struktur.Motivasi merupakan daya penggerak utama yang menjamin kejayaan seseorang dengan kecenderungan menyeluruh untuk bertindak pada masa tertentu Kecekalan penumpuan yang tinggi bagi seseorang individu dapat membantu pelajar belajar dalam tempoh masa yang panjang. Tahap kecekalan yang berbeza antara individu menyebabkan mereka memerlukan waktu dan tempoh masa rehat yang berbeza. Pelajar yang mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap pelajarannya akan sentiasa melaksanakan tugasannya dengan inisiatif sendiri Arahan yang jelas dan berstruktur mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan, namun begitu terdapat juga pelajar yang suka belajar dengan gaya bebas.

c)Rangsangan Sosiologi

Rangsangan sosiologi terdiri daripada elemen-elemen seperti diri sendiri, berpasangan, berkelompok atau dengan rakan sebaya atau orang dewasa. Dunn dan Dunn (1978) menjelaskan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara terus oleh guru kepada pelajar.Terdapat individu yang lebih suka belajar bersendirian dan tidak mahu gangguan sewaktu mereka belajar. Individu yang belajar secara berpasangan adalah individu yang lebih suka belajar dengan kehadiran individu rapat bersamanya. Pembelajaran dalam bentuk kumpulan yang pada kebiasaannya melibatkan lebih daripada dua orang rakan sebaya yang banyak melibatkan perbincangan, sumbangsaran dan perkongsian idea-idea tentang cara pembelajaran yang berkesan. Orang dewasa menjadi tempat untuk mereka menyoal atau mengemukakan soalan apabila menghadapi sesuatu masalah pembelajaran. Bagi pelajar yang kurang selesa belajar dengan pelajar yang sebaya dengannya, mereka lebih selesa belajar bersama guru atau orang dewasa

d)Rangsangan Fizikal

Rangsangan fizikal terdiri daripada elemen-elemen seperti persepsi, makanan, minuman, waktu belajar dan pergerakan. Model Dunn dan Dunn mendedahkan keperluan variasi cara belajar. Model beliau menekankan pembelajaran menggunakan kaedah untuk mengingat informasi iaitu secara visual, auditif, taktual dan kinestetik.Terdapat individu belajar dengan lebih berkesan sekiranya mereka makan dan minum semasa belajar. Selain itu, tekanan ketika belajar dapat dikurangkan melalui makan dan minum

e)Rangsangan Psikologi

Rangsangan psikologi terdiri daripada elemen-elemen yang berikut iaitu analitik/global, impulsif/reflektif, dominan otak kiri/dominan otak kanan. Pelajar analitik melakukan tugasan secara terperinci dan lebih fokus dengan setiap aktiviti pembelajaran yang dilakukan. Golongan pelajar ini hanya melakukan satu perkara sahaja dalam satu masa. Berlainan pula dengan pelajar yang global kerana pelajar ini akan melihat sesuatu gambaran itu dengan lebih luas dan terbuka. Pelajar ini akan lebih cenderung untuk bekerjasama dalam bentuk berkumpulan berbanding secara individual. Pelajar holistik melihat aspek secara meluas dan membuat rumusan secara menyeluruh. Individu yang impulsif gemar membuat keputusan yang cepat dan sering mengikut gerak hati apabila melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Manakala, individu yang reflektif lebih berhati-hati semasa membuat kerja. Individu ini sangat prihatin dan berfikir mendalam sebelum melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Otak manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu otak kiri (HOKI) dan otak kanan (HOKA). Fungsi otak yang berbeza ini mempengaruhi gaya pembelajaran setiap individu. Otak kiri manusia mengawal tindakan manusia dari aspek bahasa, matematik, logik, sekuens, linear dan analisis. Manakala otak kanan pula berfungsi dalam aspek bentuk, ruang, lukisan, corak, holistik, rentak dan irama.

0 ulasan:

Catat Ulasan